Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:
1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.
2. Penerimanya hendaklah bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.
3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut adalah terbatal.
4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.
5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan pembayaran hutang simati.
6. Wasiat boleh ditarikbalik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuatkuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlulah dibuat secara sukarela.
7. Harta yang diwasiatkan adalah harta milik sendiri secara tunai dan bukan harta milik orang lain.
8. Jika yang diwasiatkan adalah dari harta perkongsian samada perniagaan atau seumpamanya, maka hendaklah dikepilkan bersama surat perakuan dari rakan kongsi yang menyatakan sah wujudnya dan benarnya sebagaimana yang ditulis dalam wasiat.
9. Wasiat yang ditulis hendaklah tidak membebankan penerima wasiat. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' ayat 12:
Maksudnya: "...Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar".